بِسْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ
Assalamualaikum...
apa khabar iman antum semua?apa khabar pelajaran antum semua? insyaAllah semua dlm keaddan baik..
InsyAllah aku cba kngsikan satu cerita,yg pernah aku baca..ramai yg tertnya2 bolehkah Bercouple??
kata COUPLE itu HARAM..zaman sekarang semua nak trend2 baru..ad pulak wujud COUPLE ISLAMIK??
EH...Ada yer?bolehke? insyaAllah sama2 kita hayati...rasanya ad yg dah pernah baca kisah nie... tapi yg belum baca,insyaAllah kita nilai sama2...:)))
Naim pelajar
tingkatan 5 di sebuah Sekolah Menengah Agama Persekutuan. Dia seorang yang
tinggi ilmu agama dan mempunyai politik yang agak stabil di sekolah apatah lagi
dengan thiqahnya yang tinggi. Apabila ustaz tiada di antara Magrib dan Isyak,
dia akan ke hadapan. Sama ada memberi tazkirah atau mengepalai bacaan
Al-Mathurat. Pergaulan dengan perempuan dijaga dengan begitu sempurna, jika
mesyuarat terpaksa bercampur lelaki dan perempuan, sama sekali dia tidak akan
mengangkat pandangannya.
Semua orang
menghormatinya, baik yang junior mahupun senior, baik yang laki-laki mahupun
perempuan. Jika ada senior yang tengah membuli junior, jika Naim ada di tempat
kejadian, proses buli itu akan bertukar menjadi majlis maaf-bermaafan. Inilah
‘kuasa’ Naim di sekolahnya.
Dia menjadi
contoh teladan bagi setiap pelajar sekolahnya. Setiap mata-mata yang wujud di
sekolah itu selalu memerhatikan pergerakannya dan mengambilnya sebagai contoh
kehidupan yang paling sempurna. Dek kerana mengetahui banyak mata
memerhatikannya, dia betul-betul menjaga akhlaknya. Bukan kerana manusia tetapi
kerana Allah. Niatnya hanya satu, supaya Islam itu terpancar dari dirinya.
Hebatnya dia dalam menjaga akhlaknya, tidak ada seorang pun di dalam sekolahnya
melainkan teman sebiliknya yang pernah melihat kulit badannya walaupun dia
seringkali bermandi-manda di kolah berhampiran dengan surau.
Sudah pasti,
ramai perempuan yang menggilainya walaupun dia tidak mengetahui hal itu. Di
hadapannya semua baik, tunduk dengan penuh tawaduknya tapi berlalunya Naim dari
tempat itu,mula lah mulut mereka bergerak memuji dan mengumpat tentang Naim.
Bukan sahaja pelajar biasa yang meminati Naim tapi ada juga pelajar-pelajar
perempuan yang memegang tampuk kepimpinan sekolah yang meminatinya, cuma tidak
disuarakan, bimbang ditegur dan yang paling mereka takuti,takut cinta mereka
ditolak. Tambahan pula Naim banyak kali mengingatkan pelajar-pelajar supaya
menjauhi zina hati, zina yang tidak dapat dilihat dan tidak dapat dirasa
tatkala dia memberi tazkirah.
Namun, hatta
Nabi Sulaiman yang menjadi raja dunia itupun diuji Allah, inikan pula seorang
pelajar sekolah agama yang ilmu agamanya masih bertatih, bahasa arabnya masih
merangkak-rangkak. Dia diuji dengan kehadiran seorang pelajar perempuan yang
baru pindah ke sekolahnya. Namanya Nisa, Khairun Nisa.Orangnya putih,bertahi
lalat di pipi sebelah kanan sedangkan Naim di sebelah kiri.
“Ana Khairun
Nisa, sila beri tunjuk ajar.” Nisa memperkenalkan dirinya.
Dalam mahu yang
bercampur dengan iman di dalam hatinya, Naim melihat Nisa dengan sipi-sipi
matanya sahaja. Ingin dia merenung Nisa dengan lebih tajam tapi iman di dadanya
masih kukuh bak tembok besar cina.
“Cantiknya,”
hati Naim bermonolog.
Tidak sampai
sekelip matapun,imannya menampar hatinya. Dia terus sedar dari diulik oleh syaitan
dan lantas dia beristighfar, memohon ampun daripada Tuhan dek kerana melakukan
zina, zina hati. Ingin sahaja matanya mengeluarkan bintik-bintik mutiara tanda
sesalnya dia akan dosanya namun selaput kaca di matanya masih tebal. Mungkin
penyesalannya masih belum kuat untuk memecahkan selaput kaca itu.
Saat berganti
saat, hari berganti hari, Nisa pun terpilih untuk menjadi salah seorang AJK
Surau sekolah dek kerana dia asyik ke surau berbanding dengan pelajar-pelajar
yang lain. Subuhnya di surau, Dhuhanya di surau,Zohornya di surau, Asar, Magrib
dan Isyaknya di surau. Seringkali Naim terdengar suara wanita sedang membaca
Al-Quran di balik tabir biru yang memisahkan lelaki dan perempuan, ingin dia
mengintai siapakah gerangan hamba Allah itu tapi iman masih tebal menyelaput
hati nafsunya. Ditakdirkan Allah,suatu hari dia ternampak Nisa masuk ke surau
perempuan, maka tahulah dia bahawa suara perempuan yang didengar selama ini
ialah suara Nisa.
Sedang dia
sedang bersendirian berdoa selepas solat sunat Dhuha,dia terdengar satu suara
perempuan meminta tolong dari balik tabir.Suara perempuan itu sayup-sayup.
Imannya
bersuara.
“Ish..Nak
tolong ke tak..Kalo aku masok belah pompuan,bukanke khalwat..ye la,mane ade
orang…aku dan die je..takley,aku mesti bagitau ustaz hal ni,biar ustaz
tolong..”
Tapi 1 tetap
kalah kepada 2. Imannya kalah dengan nafsu dan syaitan yang menggodanya.
Akal mula
campur tangan.
“Kalo aku tak
tolong,maybe…em…aku intai dulu la,kalo serius aku tolong segera kalo tak,aku
lapor kat ustaz,”
Tabir biru
itupun diselaknya dan dia mendapati jari Nisa terkepit di almari Quran.
Walaupun sakit, Nisa tetap menahannya,bimbang maruahnya jatuh di hadapan
seorang ketua badan Agama sekolahnya. Dan ketika itulah makhluk durjana yang
bernama syaitan mula mengambil peranan. Disuntiknya bius-bius dosa ke dalam
hati Naim supaya Naim tidak terasa melakukan dosa.
Imannya
bersuara.
“Em..Aku kene
lapor kat ustat ke?Patot ke aku tolong?Bley ke aku pegang tangan die?Dose..”
Akal yang
dibalut dengan nafsunya membuat pertimbangan.
“Ah,darurat,darurat.Even
babi pun boleh makan kalo darurat.”
Hatinya membuat
keputusan sambil disahkan oleh Syaitan.
“Betul
juga,ok,aku tolong.”
Dia memberi
arahan kepada Nisa.
“Er,Nisa tahan
ek,kejap saya tarik pintu almari ni.”
Suara Nisa
bagaikan bunyi ikan bersuara,entah dengar,entah tidak.
“…ok…”
Pintu almari
berjaya dibuka, jari Nisa terlepas dari kepitan almari. Merah bak biji saga
jarinya, hampir-hampir saja berdarah tapi kulitnya masih kuat menahan segala
isi cecair daripada keluar. Tiba-tiba, Naim tanpa berfikir panjang memegang
jari Nisa. Niatnya hanya satu,ingin melihat keadaan jari Nisa. Tapi dengan
pantas Nisa menariknya dan berlari turun daripada surau dan menuju ke kelas.
Dia berdoa,
menangis menyesal dosa yang baru sahaja dibuatnya sebentar tadi.
“Ya Allah,apa
aku telah buat ni…Aku bukan sengaja melakukannya Ya Allah..Ampunilah aku..”
Habis sahaja
air matanya kering, hatinya diketuk dengan pelbagai soalan. Bukan soalan agama
tetapi soal maruah dan Thiqahnya. Bagaimana jika Nisa menceritakan hal tadi
kepada kawan-kawannya? Bagaimana kalau cerita itu bocor kepada
junior-juniornya? Kalau ustaz dapat tahu, pasti dia akan dilucutkan dari segala
jawatan yang disandangnya sekarang. Dia akan dicemuh dan dihina. Dia tidak akan
dapat peluang ke depan lagi sewaktu ketiadaan ustaz. Dia bimbang bercampur
keliru.
Lamunannya
tersentak apabila satu suara memberi salam untuk masuk ke surau. Peluh-peluh
resah dan gelisah mengalir di pipi kanannya, dia masih di dalam bahagian surau
wanita. Apa yang harus dijawab jika ditanya. Ya,menipu. Menipu adalah jalan
penyelesaian yang terbaik buatnya sekarang. Lagipun dia cam suara itu,itu suara
Khairul, teman sebiliknya. Baginya tidaklah berdosa menipu teman sebilik yang
akrab dengannya.
“Eh,Im.Ape ko
wat lam surau pompuan tu?”
Soal Khairul,
kelihatan di mukanya perasaan ingin tahu.
“Eh,takde
ape-ape la.Aku just check samada quran cukup tak belah pompuan.” jawab Naim.
“Owh,baguslah
wat kerja baik atas rumah Allah ni.Insya Allah ko dapat pahala,taknak share
ngan aku?”gurau Khairul.
Gurauan yang
pada dasarnya kelihatan seperti satu lawak bodoh tetapi ada perkataan-perkataan
yang menghantui fikiran Naim iaitu ‘RUMAH ALLAH’.
Ya,di atas
rumah Allah inilah Naim melakukan maksiat.
Di atas rumah
Allah inilah Naim menipu.
Semuanya di
atas rumah ini, rumah kepunyaan Tuan segala tuan.
Tiba-tiba dia
menangis tetapi bukanlah menangis seperti anak kecil menangis. Hanya air mata
sahaja mengalir di atas pipinya yang sedikit cengkung. Khairul terkejut melihat
Naim menangis dan bertanya sebab Naim menangis tetapi Naim hanya berdiam.
Khairul membuat andaian sendiri, pada pendapatnya mungkin Naim menangis kerana
bertaubat. Lantas perasaan cemburu mula menguasai dirinya.Inilah dia tanda
orang beriman,pantang melihat orang lebih dekat dengan Kecintaan nya,pasti dia
cemburu.
“Eh Im,kelas da
nak start. Jom!”Ajak Khairul.
“Ok,”balas Naim.
Pelajarannya
selepas waktu rehat tadi tiada makna. Sepatah kata yang keluar dari mulut
cikgu-cikgunya tidak satupun diingati atau diberi perhatian. Matanya tajam
memandang ke arah papan hijau di hadapan kelas tetapi fikiran jauh ke laut
mencari ketenangan. Jasadnya wujud tapi ruh akalnya tiada. Bukan sibuk
memikirkan penyelesaian tetapi sibuk mencari masalah-masalah yang akan timbul
jika cerita tadi diketahui umum.
Rupa-rupanya,
bukan Naim sahaja yang berjasad tanpa akal, begitu juga dengan Nisa. Cuma ada
kelainannya. Nisa sama sekali tidak bimbang tentang nasibnya jika cerita itu
bocor atau ada mata yang terpandang peristiwa tadi tetapi kepalanya sibuk
memikirkan tentang Naim. Kedudukannya di dalam kelas menyebabkan matanya tidak
berkelip memandang Naim dari belakang. Baginya, alangkah bertuah sesiapa yang
dapat menawan hati Naim. Kesopanan dan kebaikan yang ditunjukkan oleh Naim
sebentar tadi, betul-betul memikat hati suci si gadis ini. Begitulah nasib si
Abid tanpa Ilmu. Pantang ditiup angin, pasti dia rebah.
Tangan mula
mengambil peranan, diambilnya pen merah jambu kesukaannya dan diambil sehelai
kertas memo yang berada di dalam laci mejanya. Sepucuk surat ditulis sebagai
tanda terima kasih buat si jejaka budiman. Surat sahaja tidak cukup, dibelinya
sekotak air laici yang berharga 80sen dengan duit seringgit. Bakinya dibeli
sebatang choki-choki,juga sebagai hadiah.
Seperti
kebiasaannya, Naim datang ke kelas seawal mungkin. Selesai sahaja solat Zohor
berjemaah dan makan di dewan makan, tanpa menyalin pakaian,dia terus ke kelas.
Baginya masa itu emas dan tidak boleh dibazirkan walaupun sesaat.Masih banyak
pelajaran tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang belum dikuasainya.Tabiatnya ini
menjadi ikutan sesetangah pelajar yang lain.Pabila dia melangkah kaki ke dalam
kelas,alangkah terkejutnya dia apabila dia melihat sepucuk kertas yang dilipat
2 dan ditindih dengan sekotak air laici dan sebatang choki-choki.
Isi suratnya:
Salam..
Terima kasih
kerana tolong ana..
Kalau anta
takde tadi,tatau la macamana ana nak buat..
Jangan
bimbang,ana tidak akan membocorkan hal tadi kepada orang lain..
Ukhwah Fillah,
Nisa’
Sambil
menghirup air laici dalam kotak itu, dia tersenyum. Dengan mengoyak plastik
depan choki-choki, dia membetulkan kerusinya, mempersiapkan dirinya untuk
menulis surat balas kepada Nisa. Sebaik sahaja pen nya ingin menyentuh dada
kertas putih berbelang biru itu, dia terfikir alangkah bagusnya kalau dia
mempunyai pen berwarna-warni supaya Nisa tidak jemu membacanya. Mata hitamnya
terpandang bekas pensil kawan di hadapannya. Tidak pernah dia menyentuh barang
orang lain tanpa izin tapi kali ini tidak lagi. Entah kawannya bagi atau
tidak,dia terus menggunanya atas alasan yang sangat biasa, “standardla,kawan..”
Maka bermulalah kisah cinta Naim,Si Budak Agama. Balas dia:
Salam,
Terima kasih
atas minuman dan makanan yang saudari bagi,
Ana tidak buat
apa-apa melainkan untuk menolong insan dalam kesusahan,
Bukankah Islam
menyuruh kita menolong orang dalam kesusahan?
Moga Allah
meredhaai kita,
Dan,salam
perkenalan.Ana Naim.
Naim
Diselitnya
surat ini ke dalam buku latihan Nisa’ dengan harapan yang membulat. Maka, Naim
dan Nisa mula berbalasan surat.Walaupun pada awalnya,kedua-dua merasa kekok dek
kerana dua-dua mempunyai tapak agama yang boleh dikatakan kukuh. Ada juga Nisa
bertanya di dalam suratnya, Pening juga Naim dibuatnya namun disejukkan hatinya
dan hati Nisa dengan jawapan,
“Kita berbalas
surat ni,tak salah ke di sisi Islam?”
“Takpe,kita
dating tak pernah. Bertentangan mata jarang sekali. Kita Ukhwah Fillah.Kita
berhubungan inipun semata-mata kerana Allah.Kita niat untuk berkahwin,bukan
untuk buat maksiat.”
Nisa membalas,
“bagaimana pula
dengan zina hati?”
Lalu Naim
membalas,
“mana ada zina
hati. Zina hati tu ulamak yang buat dengan tujuan umat Islam tidak mendekati
zina. Rasulullah tak kata pun. Lagipun cinta ini fitrah, masakan Allah zalim
mengharamkan apa-apa fitrah manusia?”
Hilang sudah
prinsip yang dipegangnya selama ini.
Walaupun Nisa
tidak berpuas hati dengan jawapan Naim,namun dek kerana cintanya dia kepada
Naim,di’iya’kan sahaja ‘fatwa’ kekasihnya itu.
Naim dapat
mengesan rasa sangsi kekasih hatinya melalui gaya bahasa dan cara penulisan
yang agak sedikit berbeda ,lalu dia membalas, Terdiam Nisa’ membaca ‘fatwa’
baru buah hatinya itu. Ingin dia membantah tetapi bimbang dianggap meragui
Quran. Mindsetnya yang mengatakan buah hatinya mempunyai ilmu setinggi langit
itu menyebabkan dia semakin yakin dengan ‘fatwa-fatwa’ itu.
“Nisa’,bukankah
Allah berfirman bahawa perempuan baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik
untuk perempuan yang baik?Ana yakin anti baik dan ana pun yakin yang anti rasa
ana baik. Tidak sekali Allah kata isteri yang baik untuk suami yang baik tetapi
Allah kata perempuan dan lelaki bermakna belum berkahwin pun takpa. Anti
meragui Quran?”
Thiqah bukanlah
kerja manusia. Pengaruh bukanlah kawalan manusia. Hati manusia tidak boleh
dibeli dengan mata wang, kesetian tidak boleh diperdangkan dengan kemewahan.
Semuanya hak mutlak Allah,Tuhan yang membolak balikkan hati manusia. Jika Dia
menghendaki seseorang itu mulia, maka mulialah orang itu walaupun pada awalnya
dia hanya seorang anak yatim piatu. Jika Dia menghendaki seseorang itu hina,
maka hinalah orang itu di atas tahtanya sendiri. Semuanya bukan dengan
tiba-tiba tetapi ada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Nya yang diberi
nama Sunnatullah.
Kepercayaan
manusia terhadap seseorang itu akan datang bila dia mendekatkan diri dengan
Tuhannya. Kesetiaan seseorang terhadapnya menjadi lebih solid pabila dia
menyempurnakan apa yang dilafaznya.Inilah hukum yang ditetapkan Ilahi.
Makin hari,
pengaruh Naim semakin jatuh. Kawan-kawan dan junior-juniornya semakin bosan
dengannya. Sebab? Tiada. Jelas sekali soal hati, Dia yang punya. Hidup Naim
juga menjadi tidak tentu hala. Dulu dia berbaju ketika mandi di kolah,kini
tidak lagi. Pertimbangan akal menjadi semakin kurang,mungkin terlampau tebal
kabus dosa yang menutupi hatinya.thiqahnya kian jatuh. Terkadang dia dimarahi
oleh cikgu-cikgu kerana prestasinya yang kian merosot.
Dia merasakan
tekanan semakin bertambah.Tiada lagi sakinah yang dianugerahkan kepadanya dulu.
Tiada lagi senyuman tatkala kesusahan. Tiada lagi nasihat-nasihat penenang yang
mampu diberi pabila adik-adik datang meminta nasihat.
Jika dulu dia
mampu mengambil tugasan luar walaupun ketika peperiksaan bulanan dijalankan,
kini tidak lagi. Bukan peperiksaan pun dia tidak dapat mengatur masa dengan
baik. 24 jam baginya tidak cukup. Masa untuk dia belajar, masa untuk dia
berpersatuan dan masa untuk Nisa. Pernah dia berdoa meminta diberi 1 jam lebih
tapi dia tidak sedar bahawa jika dia diberi 100 jam lebih pun, pasti tidak
mencukupi.
Khairul merasa
hairan dengan perubahan sikap kawan sebiliknya itu. Kadang-kadang tersenyum
seorang diri,kadang-kadang masam dan kadang-kadang seperti bercakap seorang
diri. Naim seakan-akan gila. Betul Naim gila,gila bayang. Panahan syaitan
benar-benar telah menusuk ke dalam hatinya, membuat satu lohong iman di dalam
hatinya. Khairul cuba bertanya mengapa dia seakan-akan berubah tapi dimarahnya
Khairul,
“kubur
lain-lain,syurga lain-lain,neraka pun lain-lain!”
“Betul,sebab
lain-lain la aku nak tanya ko.Mane la taw ko ade masalah,bimbang takut di sana
pun ko ade masalah.”Ujar Khairul.
“Ko taw kan
firman Allah, kuu anfusakum wa ahli kum naara?”Soal Naim.
“jagalah diri
kamu dan ahli keluarga mu daripada api neraka..jadi?”Jawab Khairul.
“Jadi?!Aku ahli
keluarga kau ke?!”Marah Naim lagi.
Khairul terdiam
sedar bahawa ilmunya tidaklah setanding dengan Naim. Perasaan kesal timbul
dalam hatinya atas tindakan sahabatnya sebentar tadi. Namun,atas dasar silatur
rahmi kerana Allah,dia nekad untuk mengetahui punca Naim berubah. Baginya pokok
tidak akan bergoyang jika beruk tiada di dalamnya. Walaubagaimanapun,Khairul tidaklah
selicik Naim, dia buntu apabila memikirkan adakah tindakannya selari dengan
Islam atau berserenjang dengan Islam. Lalu disampaikan isi hatinya kepada Ustaz
Faidi, Mentornya.
“Er Ustaz,saya
ada masalah nak bincang dengan ustaz.”Bagitahu Khairul.
“Ma?”Soal Ustaz
balik.
“Ustaz,saya
bimbang dengan Naim,teman sebilik saya. Perangainya seperti sudah berubah. Dia
macam bukan dia..Er, tataw nak terang macamana..”Terang Khairul.
“Na’am,ana pun
perasan perubahan pada Naim. Dia dah bukan macam dia yang dulu. Banyak
perubahannya.”Tambah Ustaz.
“Saya rasa,ada
yang disembunyikan olehnya Ustaz dan saya rasa,ada baiknya saya
menyiasat..Bolehkah ustaz?”Soal Khairul.
“Dalam
Islam,mengintai mencari kesalahan orang ini diistilahkan sebagai Al-Tajassus.
Hukumnya asalnya haram tapi boleh berubah menjadi harus pabila diperlukan. Dan
dalam keadaan ni,hukumnya harus.”Terang ustaz.
Penyiasatan
bermula dan penyiasatan Khairul bertemu dengan jalan buntu.Tiada sebarang benda
buruk yang dilakukan Naim.Namun, pabila Allah menghendaki yang gelap menjadi
terang,dihilangkan bintang dan diganti dengan matahari. Sepandai-pandai tupai
melompat,akhirnya jatuh juga ke tanah.Akhirnya surat yang disimpan selama ini
dijumpai oleh Khairul ketika dia sedang membersihkan surau.
Rupa-rupanya,surat-surat yang dihantar oleh Nisa’,selama ini disimpan di balik
almari al-quran di hadapan tempat imam solat.Terkesima Khairul dibuatnya apatah
lagi ketika membaca perkataan-perkataan yang telah berlaku
evolusi,daripada‘ana’, ‘anti’, kini ‘sayang’, ‘ayang’.Daripada ‘ukhwah Fillah’
kini ‘I luv U’.
Khairul tidak
salah lagi,surat itu kepunyaan Naim. Tertera nama Naim di atas belah kiri
surat, ‘Buat Naim ku sayang’. Dalam tidak sedar, Khairul menangis. Dia
betul-betul sedih membaca surat-surat itu,bukan kerana Nisa yang dalam
pemerhatiannya juga dirampas orang tetapi sedih bagi pihak Naim. Terngia-ngia
di telinganya bacaan ayat 2 dan 3 surah As-Saf yang selalu dibaca oleh Naim
ketika menjadi Imam Magrib. Mengenangkan maksud ayat-ayat tersebut yang secara
ringkasnya membari maksud melarang orang beriman daripada memberi nasihat
tentang apa yang mereka perbuatkan, Khairul terus menangis.
Dari luar
surau, kelihatan Naim yang baru sahaja sampai di surau. Tanpa berfikir tentang
benda lain, Naim terus memandang ke arah tempat penyimpanan ‘harta karun’nya
itu. Terperanjat dia apabila mendapati Khairul sedang memegang ‘harta-harta
karung’nya itu dan tanpa berfikir panjang,dia berlari ke arah Khairul. Sekali
lagi dia melanggar prinsip yang diajar kepada orang-orang lain supaya
menghormati rumah Allah, jangan berlari-lari di atasnya. Dia lupa bahawa dia
pernah melarang kawan-kawannya yang bergurau di dalam rumah Allah, katanya
bahawa berlari di atas rumah Allah seperti berlari di atas perut ibu sendiri
yang sedang sarat mengandung. Entah benar,entah tidak.
Ditolaknya
Khairul ketepi dan dirampasnya semua surat-surat yang dipegang oleh Khairul.
“Woi,ape ko
buat ni?!!!”Marah Naim.
“Woi? Mana
pergi bahasa mu wahai kawan?Mana pergi sopan santun mu wahai kawan?Mana pergi
dirimu yang dulu wahai Naim?”Soal Khairul sambil mengesat air mata yang sedang
mengalir.Naim terdiam.
“Rupanya,inilah
masalah mu wahai kawan.Tiada ku sangka dirimu sedemikian,wahai kawan.Bagiku
engkau lah model, engkaulah insan sempurna yang memancarkan sinar Islam ke
sekolah ini.Kini kau sirna wahai kawan,kau mutiara yang kian sirna!”Marah
Khairul.
“Ah,kau peduli
ape!”Naim bersuara walaupun hatinya terkesan dengan kata-kata Khairul.
“Jujur aku
tanya,kau couple Im?”Soal Khairul.
“Aku couple
ke,aku tak couple ke,tu soal aku la.Dosa biar aku tanggung sendiri!Jangan risau
la,aku takkan heret kau masuk neraka sama dengan aku!” Lantang sungguh Naim
berbicara.Dia lupa di atas lantai rumah siapakah yang dia pijak sekarang.
Khairul berlalu
dari tempat itu dengan penuh penyesalan. Ingin dia salahkan takdir kerana
menemukan dia dengan seorang kawan yang hipokrit seperti Naim namun dia akur
dengan qada’ dan qadar Ilahi.
Semasa mereka
bekelahi sebentar tadi,mereka bukan berdua. Di balik tabir biru itu ada 3
pasang telinga yang mendengarnya secara tidak sengaja. 3 orang pelajar junior
perempuan baru sahaja selesai mendirikan solat sunat Dhuha mendengar setiap
butir perkataan yang keluar daripada mulut mereka berdua.
Malang si Naim.
3 orang pelajar itu bukanlah pelajar yang diam sifatnya. Dihebahkan berita Naim
berpacaran ke setiap juzuk sekolah sehingga para cikgu pun tahu mengenainya. Ke
mana sahaja Naim pergi,pasti ada mata-mata yang memandangnya dengan
hujung-hujung mata dan sebaik sahaja Naim pergi, mulalah syaitan berpesta
dengan dosa mengumpat. Bertambah malang bagi Naim,dia tidak tahu bahawa semua
orang telah tahu dia berpacaran. Tazkirah yang seringkali ditunggu oleh semua
pelajar kini dicemuh,dihina dan dikutuk oleh semua yang mendengarnya kecuali
kekasih hatinya, Nisa.
Khairul, si
sahabat setia ini tidak senang mendengar orang mengumpat sahabat sejatinya.
Akhirnya dia berkeputusan untuk menyampaikan sendiri kepada Naim bahawa semua
orang sedang mencelanya.
“Im,senanye..Sume
orang da taw ko couple..”Bicara Khairul secara perlahan.
“Hah?!”
Terkejut Naim.Apa yang ditakutinya kini menjadi realiti.
“Ko bagitaw
orang?!!!!”Soal Naim.
“Eh,tak..Aku
pun tak taw macamana bley..”
“Ah!! Inilah
kawan! Kawan makan kawan! Aku tau dari dulu lagi ko dengki ngan aku, ko dengki
ngan jawatan aku dapat!Aku taw kau sengaja nak jatuhkan aku!”Naim memotong
dengan lajunya,melebihi had laju yang sepatutnya.
“Demi Allah..”
“Jangan main
dengan sumpah! Berani sebut nama Allah dalam wat dosa,dasar…”Sekali lagi Naim
memotong,laju benar susun katanya.
“Aku menyesal
bagitahu kau,aku ingat kau la kawan aku yang sejati rupa-rupa..”
“Rupa-rupa
apa?!Musuh?!”Naim marah lagi.
“Na’am! Musuh
Allah,musuh agama Allah! Ko nasihat orang jangan bercouple,jangan zina hati,
jangan itu,jangan ini tapi dalam masa sama kau buat! Ko lupa ayat-ayat surah
As-Saf yang ko selalu baca tyme jadi Imam? Ko lupa?! Meh aku ingatkan ko! Wahai
orang beriman jangan kau melarang apa yang engkau kerjakan,s ungguh besar
kemurkaan Allah pada engkau! Ya,pada engkau Naim!Allah memurkai mu dan layaknya
aku membenci mu!” Balas Khairul dengan penuh perasaan kecewa.Lalu dia
meninggalkan bilik dengan menarik tombol pintu dengan sekuat-kuatnya.
Keheningan dan
kesunyian malam itu dipecahkan dengan dentuman pintu bilik khas, bilik Naim dan
Khairul. Di sekolah itu mereka sahaja yang diberi keistimewaan untuk tinggal di
bilik dan orang lain di dorm, memandangkan mereka ialah ketua dan penolong
ketua pelajar di sekolah itu. Pelajar-pelajar senior yang mendengarnya keluar
dengan berlari, hati mereka ingin benar mengetahui apa yang berlaku namun
kelihatan hanya Khairul sedang berjalan menuju ke tandas. Berbeza pula dengan
pelajar junior,mereka dengan lajunya menutup lampu dan berpura-pura
tidur,bimbang nama mereka dipanggil untuk dijadikan ‘lauk’ para senior malam
itu.
Kata-kata
Khairul benar-benar menikam qalbu terus ke akal. Tersentak Naim buat seketika.
Mimpi ngeri dalam hidupnya baru bermula. Tidak,dia baru sedar yang dia dalam
mimpi ngeri. Tindakan segera wajib diambilnya jika tidak thiqahnya akan terus
merudum jatuh menyembah bumi.Jika dia terus begini,tiada lagi ‘Abg Naim Si
Budak Surau’ atau gelaran ‘Wali Naim’. Tiada lagi kesetiaan,tiada lagi
kepatuhan dan tiada lagi insan yang akan menghormatinya menggunakan hati
mereka. Apa yang ada hanya lakonan. Buah di luar, duri di dalam.
Dikuatkan
hati,diringankan tangan untuk menulis surat terakhir buat kekasih hatinya. Tapi
ternyata dia gagal. Semalaman dia tidak lena,pening memikirkan jalan
penyelesaian yang pasti tiada jawapannya. Akibatnya,dia tertidur di dalam
kelas.
“Naim,bangun!”Arah
Cikgu Marlina, cikgu matematik tambahan yang terkenal dengan garang dan
keceluparan mulutnya.
Naim terjaga
dari lenanya dan terus berdiri.
“Apa dah jadi
dengan awak ni?Dalam kelas tidur,luar kelas bercinta!”Marah Cikgu Marlina.
Awan hitam kini
melitupi Naim,dia merasa tersangat malu. Bukan arang yang diconteng ke mukanya
sekarang tetapi najis,najis manusia,manusia yang bernama Naim, najisnya
sendiri. Tiada kata dapat dibalas, dia hanya tunduk terdiam.
Naim bijak
dalam beragama tapi dia gagal dalam berpolitik.Dia tidak sedar akan tindakan
untuk tunduk dan diam itu bukanlah satu tindakan yang betul dalam berpolitik.
Tindakannya itu sepeti dia mengakui kesalahannya dan dalam erti kata lain,dia
mengakui bahawa dia sedang bercinta.
Marah Cikgu
Marlina tadi bukan sahaja menampar Naim tapi terbias juga kepada pasangannya,
Nisa. Nisa tunduk,akur dengan kesilapannya. Kini,dia sedar bahawa dia telah
menarik Naim ke lembah kebinasaan. Surat pertamanya,surat tanda terima kasih
itu merupakan surat jemputan ke neraka. Dia sudah sedar segala-galanya.
Surat,hadiah dan fatwa-fatwa Naim itu merupakan alatan-alatan yang dibuat oleh
syaitan. Nampak seperti sesuai dengan syarak tapi penuh dengan unsur
kemaksiatan, tidak dapat dilihat oleh mata kasar,hanya mata hati dapat
mengesannya.
Cara yang
terbaik untuk Nisa sekarang,menulis surat terakhir,surat tanda perpisahan,
surat yang akan meniupkan kembali segala kebaikan dan menutup segala keburukan.
Dengan nekad yang kuat di dalam hati,keyakinan yang tinggi terhadap Islam,Nisa
memegang pen merah jambu kesayangannya dan mula menulis.
Salam sayang,
Sudah hampir 5
bulan kita bercouple,
Ayang percaya
yang sayang sudah tahu isi hati ayang,
Ayang
benar-benar menyintai sayang..
Sepenuh jiwa
dan raga ayang..
Namun,ayang
sedar satu benda,benda yang mungkin buat kita menangis,
Dalam kita
asyik mengejar cinta Ilahi bersama-sama,kita telah balutinya dengan cinta yang
penuh dengan kepalsuan.Cinta manusia yang tidak mempunyai dasar yang kukuh.Kita
selesakan diri kita dengan menyatakan cinta kita berdasarkan iman tapi dengan
iman itu kita melakukan maksiat.Benar kita tidak pernah berjumpa,berdating
seperti remaja lain tapi maksiat bukan itu sahaja.
Ayang yakin
dengan kata-kata sayang bahawa tiada hadis yang menyatakan zina hati tapi ayang
baru perasan bahwa ayat la taqrabu zina itu menggunakan fail qaraba yakni
perbuatan mendekatkan dengan hati.Maknanya,dengan hati pun tidak boleh dekati
zina.
Ayang bukanlah
membuat fatwa atau apa-apa ajaran tetapi itulah yang ayang percaya.Tindakan
kita ini tidak lain tidak bukan,membersihkan najis dengan air kencing
sendiri.Najis tidak bersih tetapi bertambah kotor,mengalir dan terus mengalir
mengotori semua tempat.
Sayang..Ayang
percaya pada jodoh.Jika kita dijodohkan bersama,Insya Allah,kita akan
bersama.Tidak perlu bercouple atau berkenalan,jika Allah nak kita bersama,insya
Allah kita bersama.
Percayalah,itu
hak Allah.Dia boleh buat apa yang dia suka.Dia yang menghidupkan Isa tanpa
bapa,menyejukkan api yang membakar nabi Ibrahim,memutuskan air penghalang nabi
Musa dan menghidupkan Sam bin Nuh buat nabi Isa.Jika semua perkara ganjil itu
Allah yang buat,apatah lagi soal jodoh yang merupakan soal kebiasaan.
Semoga apa yang
kita bina selama ini diampuni Allah.
Ukhwah Fillah.
Nisa
Tertitis
setitik dua air matanya di atas surat itu tapi cepat-cepat dilapkan supaya
tulisan tidak hilang.Sengaja dia tidak mengambil kertas baru dan menulisnya
kembali supaya Naim faham isyarat yang cuba diberinya.Hati Nisa tidak mahu tapi
disebabkan imannya, agama didahulukan. Kemahuan ditolak ketepi walaupun perit
menolaknya.
Surat keramat
diletakkan di atas meja Naim, kali ini tiada lagi air laici dan tiada lagi
choki-choki,surat semata-mata. Naim membacanya dan dia telah bersedia dengan
keadaan ini. Tiada lagi air mata,tiada lagi tangisan tiada lagi kedukaan. Kisah
cintanya jelas bukanlah cinta yang menghasilkan CINTA tapi cinta yang
berpaksikan maksiat semata-mata.
Tangannya
pantas mencari kertas dan pen untuk membalas surat terakhir ini.Tengah dia
berfikir ayat-ayat cinta terakhir, hidayah Tuhan sampai. Cahaya yang akan
menghilangkan segala titik hitam yang bertapak di permukaan hatinya.Cahaya yang
akan membaca cinta ini kepada CINTA.
Dengan penuh
yakin,dia mengoyak kertas yang ditulisnya tadi. Dia yakin,jika dia menulis
surat balas,syaitan akan mencelah dan mengambil peluang lagi ke atasnya.
Biarlah surat ini bergantung sebegini supaya dapat disambung di akhirat nanti.
InsyaAllah sama2
kita hayati dan kita pelajai jom sama2 tajdid balik iman kita semua:)))
*watak2 dia ats
tiada kaitan dgn mana2 pihak yer,wallahua'lam..
*Cerita dan
nama diatas tiada kaitan dgn sahabat baikku 'nisa'..nama nie secara
kbetulan..hiiihii
awk,awk jgn
terasa or ambil hati yer..:))